Jumaat, Oktober 18, 2019

SEJARAH JABATAN PENDIDIKAN MELAKA


 

SEJARAH JABATAN PENDIDIKAN

Sejarah Pejabat Pelajaran Melaka boleh dibahagikan kepada empat fasa.

Pertama : 1826 hingga 1878

Dalam Fasa Pertama ini Pejabat Pelajaran atau Jabatan Pendidikan masih belum wujud lagi.  Ini adalah kerana pentadbiran sekolah-sekolah di Melaka termasuk sekolah-sekolah vernacular Melayu adalah tertakluk di bawah  pentadbiran Badan Amanah yang dinamakan “Trustee Of The Orphan, Church, Poor, Leper and School Fund”.  Walaupun tidak mempunyai bangunannya sendiri tetapi ia dipercayai digerakkan oleh badan tersebut yang berpusat di Bangunan Stadthuys, Melaka.

Pada tahun 1867 berlaku perpindahan kuasa Negeri Negeri Selat dari India ke Pejabat Tanah-Tanah Jajahan di London.  Perpindahan kuasa ini juga melibatkan perubahan beberapa dasar British.  Sistem pendidikan juga bertambah pesat di Negeri-Negeri Selat termasuk di Melaka. Hingga tahun 1888, contohnya, terdapat beberapa sekolah Inggeris dan 58 sekolah vernacular Melayu didirikan. Perkembangan pesat ini juga mengubah pengurusan pendidikan di negeri ini.

Fasa Kedua : 1878 hingga 1902

Setelah berlakunya perubahan dalam sistem pengurusan pendidikan, pihak Badan Amanah dalam mesyuarat agungnya pada 6 Mac 1878 telah menyerahkan seluruh pentadbirannya, termasuk fund sekolahnya kepada kerajaan.  Ini bermakna pada tahun tersebut sistem pengurusan sekolah-sekolah di bawah “Trustee” diserahkan kepada kerajaan Negeri-Negeri Selat.

Bagi menguruskan pendidikan di Melaka sebuah pejabat khas diwujudkan di Bangunan Stadyhuys dan inilah merupakan bangunan Pejabat Pelajaan Melaka yang pertama.  Pegawai-pegawainya terdiri dari pegawai pentadbir kerajaan di bawah pengawasan Residen Councillor Melaka.

Dari rekod yang ada menunjukkan, hingga 1888 terdapat 58 buah sekolah di Melaka.  Ini tidak termasuk sekolah-sekolah di bawah pentadbiran gereja. Manakala bilangan pelajarnya meningkat kepada 8407 orang.

Fasa Ketiga: 1902 hingga 1970

Pada tahun 1900 sebuah maktab perguruan didirikan di Melaka.  Maktab tersebut ialah Maktab Melayu Melaka yang beroperasi di antara 1900 hingga 1922. Pada masa inilah sistem pendidikan di Melaka bertambah pesat terutama setelah “Akta Pelajaran Wajib 1902” diperkenalkan.  Pada waktu itu fungsi Jabatan Pelajaran Melaka bertambah mencabar.  Oleh itu ia memerlukan satu bangunan  khas bagi menguruskan pentadbiran di Melaka. Pada tahun inilah Pejabat Pelajaran Melaka dapat bangunan khas di Jalan Kota (Fort Road).  Bangunan ini digunakan hampir 70 tahun. Pada tahun 1910 terdapat 65 buah sekolah vernacular Melayu dan beberapa sekolah Inggeris kerajaan dengan bilangan murid Melayu di sekolah Melayu seramai 4174 orang. Hingga 1938 terdapat seramai 9505 orang belajar di 79 buah sekolah Melayu.  Menjelang merdeka terdapat kira-kira 100 buah sekolah Melayu didirikan oleh kerajaaan.

Fasa Keempat: 1970 hingga sekarang

Selepas kemerdekaan pendidikan di Negeri Melaka bertambah pesat.  Dasar Pelajaran Kebangsaan perlu dilaksanakan dengan lebih efektif. Bilangan pegawai pentadbir juga bertambah.  Bangunan di Jalan Kota tidak lagi dapat menampung bilangan pegawai dan kakitangan yang ramai.  Pada tahun 1970 Jabatan Pelajaran Melaka sekali lagi dipindahkan ke Bangunan Pusat Latihan Peguruan Harian (DTC) Bukit Baru Melaka.

Sejak awal tahun 1980an satu usaha telah diambil untuk mendapat bantuan kewangan dari kerajaan bagi mendapatkan bangunan Jabatan Pelajaran sendiri.  Akhirnya dalam peruntukan Rancangan Malaysia Ke-5, kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 2 juta untuk membina bangunan baru. Kini Jabatan Pelajaran Melaka telan mempunyai bangunan pentadbiran yang baru di Bukit Beruang Melaka.

  Pasukan Portal
  Dasar Keselamatan
  Dasar Privasi
  Soalan Lazim
 
Brosur Sektor & Unit
© 2018 Hak Cipta Terpelihara Jabatan Pendidikan Melaka
Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas
  HUBUNGI KAMI
  JABATAN PENDIDIKAN NEGERI MELAKA
  Jalan Istana, Bukit Beruang
  75450 Melaka
  T 06-232 3776 / 3777 / 3778 / 3779   F 06-232 0500
  E jpnmelaka[at]moe.gov.my

Pelawat Hari Ini : 149 Jumlah Keseluruhan : 95729