Tujuan Kajian ini adalah untuk melihat keberkesanan penggunaan teknik peneguhan bagi mengatasi masalah tingkah laku kegagalan menyiapkan latihan pengukuhan sebelum tamat sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah A-B yang mana A adalah fasa baseline dan B adalah fasa intervensi. Sampel kajian melibatkan seorang murid pemulihan sahaja yang mempunyai masalah kegagalan menyiap latihan pengukuhan. Kaedah pengumpulan data dilakukan secara pemerhatian di dalam kelas pemulihan selama empat minggu yang melibatkan keadaan sebelum dan semasa intervensi dilaksanakan. Data yang diperoleh dinyatakan dalam bentuk graf linear bagi menerangkan lebih jelas pengaruh dan keberkesanan teknik peneguhan yang digunakan. Hasil kajian menunjukkan penggunaan teknik peneguhan telah berjaya mengurang malah hampir mengubah tingkah laku. Keseluruhannya, kajian ini membuktikan teknik peneguhan merupakan satu bentuk intervensi yang sesuai dan dapat dipelbagaikan sesuai dengan kanak-kanak. Masalah kegagalan menyiap latihan pengukuhan boleh dikurangkan sekali gus diatasi jika teknik peneguhan dilaksanakan secara berterusan untuk tempoh yang lama.

 

Kata kunci:Pemulihan Khas, kerja rumah, peneguhan


Sinopsis Program iQ-PL:


Program iQ-PL merupakan satu inovasi alat atau peta pemikiran yang mula diperkenalkan  dalam kalangan murid-murid pemulihan khas  setelah melihat kepada keberkesanan konsep i-Think yang telah dibudayakan di sekolah-sekolah terhadap murid-murid arus perdana. Peta pemikiran iQ-PL ini mengandungi beberapa bentuk peta yang asalnya daripada peta-peta i-Think dan terdapat beberapa penambahan peta iaitu peta bulatan, peta buih berganda, peta pokok, peta alir, peta pelbagai alir, peta titi, peta buih, peta dakap, peta bingkai, peta piramid serta peta gabung berganda. Melihat kepada konsep asal yang terdapat pada 8 peta i-Think, konsep yang terdapat pada beberapa peta     iQ-PL ini telah diubahsuai menjadi lebih mudah dan bersesuaian dengan tahap pemikiran murid-murid pemulihan khas ditambah pula dengan beberapa peta baru yang sesuai dengan kemampuan murid pemulihan khas. Setiap peta minda ini dipermudahkan penggunaannya dan lebih terarah kepada kemahiran-kemahiran dalam LITERASI melalui kepelbagaian bahan pembelajaran. Pemilihan tajuk atau kemahiran yang hendak disampaikan serta pemilihan bahan yang sesuai untuk mengaplikasikan peta iQ-PL ini mestilah berdasarkan pengalaman hidup murid dan situasi yang dekat dengan diri murid.

Antara objektif program iQ-PL ini diwujudkan dan dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan menaakul dalam kemahiran LITERASI dalam kalangan murid-murid pemulihan khas menerusi penggunaan peta minda yang lebih difahami dan memudahkan mereka mengaplikasikan kemahiran bagi menguasai proses pembelajaran mereka bermula dari kemahiran yang rendah sehingga kemahiran yang lebih tinggi. Seterusnya, program iQ-PL ini mampu merangsang minda murid khasnya murid-murid pemulihan khas melalui kepelbagaian bahan pembelajaran yang digunakan seperti bahan ICT, bahan-bahan maujud dan bahan yang wujud disekeliling murid diolah menjadi bentuk-bentuk peta minda untuk diaplikasikan dalam pembelajaran murid-murid pemulihan khas. Proses pembelajaran yang berlaku diluar bilik darjah dengan menggunakan bahan-bahan yang terdapat disekeliling murid akan mengembangkan lagi proses penjanaan minda di dalam otak mereka. Melihat dari sudut psikologi murid, mereka akan tampak lebih yakin dengan keupayaan mereka dan sekali gus mengubah perilaku menjadi lebih positif melalui program     iQ-PL ini. Sifat kolaborasi dalam kalangan murid juga wujud apabila proses pembelajaran mereka melibatkan penggunaan peta-peta minda dalam program iQ-PL yang akan melahirkan nilai bekerjasama dalam kalangan murid pemulihan khas. Justeru itu, program iQ-PL ini dapat membawa kepada kemenjadian murid pemulihan khas ke arah yang lebih positif melalui kepelbagaian bahan-bahan pembelajaran.

 



Pencetus Program iQPL:

1. PN. NOOR NAZREEN BINTI NORDEN - SK PAYA DALAM

    No. Tel: 012-7484328  


Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran membaca suku kata kv bagi murid pemulihan dengan menggunakan kaedah gabungan abjad dan bunyi sebagai alat intervensi. Kajian kes eksperimental ini menggunakan persampelan bertujuan. Subjek kajian kajian adalah seorang murid pemulihan berusia tujuh tahun yang tidak melepasi Konstruk 2 (kemahiran suku kata kv) Saringan Literasi Tahun 1 dalam program Literasi dan Numerasi (LINUS). Data dikumpul dan dianalisis melalui senarai semak bacaan murid, senarai semak minat murid terhadap bacaan, dokumen dan rekod bacaan ujian pra dan ujian pasca. Data dipersembahkan dalam bentuk peratusan melalui jadual dan graf supaya keberkesanan rawatan ini dapat dilihat dengan jelas. Dapatan kajian mendapati subjek kajian keliru bunyi vokal i dan e. Terdapat peningkatan kemahiran membaca suku kata kv melalui analisis dokumen, iaitu 80%.  Minat membaca murid turut meningkat selepas jalani intervensi. Peningkatan kemahiran juga dilihat melalui ujian, iaitu sebanyak 65%. Kesimpulannya, kaedah GabBu ini boleh dijadikan alat intervensi yang dapat membantu murid pemulihan meningkatkan kemahiran membaca suku kata kv.

Tiga objektif utama artikel adalah untuk (i) memberi gambaran deskriptif yang mendalam mengenai perkembangan kognitif, sosial dan  emosi kanak-kanak ADHD, (ii) membuat refleksi tentang teori-teori perkembangan kanak-kanak dan mengaplikasikan kepada amalan guru, (iii) mengenal pasti cadangan intervensi dan strategi pengajaran yang boleh membantu pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak ADHD.